Perjalanan Primax 95


Petroliam Nasional Berhad (Petronas) baru-baru ini telah memberi peluang kepada pihak media merasai pengalaman produk RON95 yang bakal diperkenalkan sepenuhnya pada 1 September nanti.

Dikenali sebagai Primax 95, petrol yang didakwa terbaik di pasaran itu diuji dalam satu konvoi singkat selama dua hari. Konvoi bermula dari Seksyen 13, Shah Alam menuju ke Petronas Penapisan Melaka, bandar Melaka, sebelum kembali semula ke Shah Alam.

Walaupun singkat, perjalanan itu memberi banyak pendedahan tentang bagaimana sebuah syarikat milik negara sedaya upaya menyediakan produk terbaik untuk rakyat Malaysia. Menggunakan kereta pelbagai segmen, ternyata ia sejenis petrol yang bagus (compatible).

Peserta konvoi terdiri daripada Proton Exora, Kia Sportage dan Optima, Peugeot 206 dan 407, Honda Civic dan City serta kereta mewah BMW 320 dan 525.

Acara pelepasan peserta telah diadakan di stesen Petronas Seksyen 13, Shah Alam. Stesen itu merupakan yang keempat selepas stesen Petronas di Putrajaya Presint 9 dan 9D, Bandar Mahkota Cheras serta Kepong yang menawarkan pilihan RON95 yang lebih awal berbanding dengan syarikat minyak lain.

Peserta dilepaskan oleh Pengurus Besar Kanan, Bahagian Perniagaan Runcit, Petronas Dagangan Berhad, Mohd Fadzlan Abdul Samad.

Destinasi pertama ialah Petronas Penapisan Melaka iaitu loji penapisan minyak mentah yang terbesar di Malaysia. Jika kebanyakan konvoi sebelum ini menggunakan laluan lebuh raya, perjalanan kali ini melalui daerah Sepang, Port Dickson, Lukut, Masjid Tanah seterusnya Sg. Udang.

Sudah pastinya, ia laluan yang bagus untuk menguji prestasi petrol yang digunakan. Namun secara jujurnya, saya yang memandu Kia Optima tidak dapat memberikan sebarang komen.

Sebabnya, saya tidak pernah memandu Optima dengan RON97 sebelum ini. Jadi, apa yang dapat saya simpulkan bahawa prestasi Primax 95 ialah tipikal petrol yang biasa kita gunakan setiap hari.

Setibanya di Petronas Penapisan Melaka, media diberi pelbagai informasi yang selama ini tidak ramai mengetahuinya. Lokasi itu merupakan pendaratan bahan mentah dan pengeksportan utama bekalan bahan api yang telah siap diproses.

Ia menerima minyak mentah, menghasilkan petrol, diesel, kerosin dan produk konsumer lain untuk dipasarkan. Memandangkan masa agak terhad, pihak media hanya berkesempatan mendengar taklimat asas dan menikmati pemandangan singkat keseluruhan loji penapisan dari medan tinjau di atas sebuah bukit.

Keesokan harinya, program yang lebih menarik telah disediakan. Perjalanan pulang dari Melaka melalui sebahagian lebuh raya dan sebahagian lagi jalan lama Nilai ke Litar Sepang. Aktiviti untuk hari tersebut adalah ujian Primax 95 di litar go-kart.

Selain Grand Prix F1, Moto GP, Formula Nippon, Japan GT dan Super Taikyu, boleh dikatakan majoriti daripada kami tidak menyedari bahawa Petronas turut memiliki teknologi go-kart dengan membina sendiri unit go-kart profesional.

Dikenali sebagai GK1 yang dipasang dengan enjin K200 berkapasiti 200cc empat lejang, 40 kuasa kuda, ia merupakan evolusi pembangunan serius Petronas dalam sukan bermotor.

Malah, sebelum ini pun Petronas telah berjaya membangunkan enjin E01, enjin motosikal GP1 dan FP1, superbike pertama Malaysia. Justeru, membangunkan petrol RON95 untuk enjin-enjin yang mereka bina bukanlah satu perkara sukar.

Tidak seperti kart yang biasa kita lihat di pusat rekreasi dan diklasifikasikan sebagai fun kart, GK1 merupakan kart khusus untuk perlumbaan bertaraf profesional.

Saya bukan ahli kimia, tetapi secara teknikalnya, kebanyakan enjin-enjin perlumbaan menggunakan kandungan oktana yang tinggi. Maksudnya, ia memerlukan bahan bakar dengan kadar RON yang tinggi. Kemampuan enjin K200 menerima Primax 95 adalah satu kejayaan yang boleh dibanggakan.

Sebelum mengakhiri program konvoi itu, pihak media diberi taklimat tentang Primax 95. Antara kelebihan petrol itu ialah resipi utama Sinar G-07 yang berfungsi sebagai peningkatan kuasa, friction modifier untuk melindungi komponen enjin dan combustion improver untuk meningkatkan keberkesanan operasi enjin.

Turut diformulasi dalam Primax baru ialah agen detergen untuk membersih dan mencegah pengumpulan benda asing yang boleh mengurangkan prestasi enjin.

Petronas juga telah melakukan ujian Primax 95 di sebuah firma bebas di United Kingdom. Dengan purata perjalanan 80,000 kilometer yang merentasi pelbagai jenis cuaca, permukaan jalan dan jenis enjin, ternyata Primax 95 melepasi ujian tersebut dengan cemerlang.

Secara umumnya, saya tertarik dengan usaha Petronas yang menjalankan tanggungjawab sosialnya kepada rakyat Malaysia. Sebagai sebuah syarikat tempatan, Petronas menyedari bahawa menyelamatkan bumi kelahirannya sama penting dengan misi mengaut keuntungan dalam perniagaan.

Justeru, selain daripada memiliki petrol yang bagus untuk enjin, mereka juga memformulasikan petrol berkualiti untuk mengurangkan pencemaran alam sekitar. Primax 95 menghasilkan hanya 500ppm sulfur dan melepasi tahap piawaian Euro2m.

Tahukah anda bahawa sesetengah petrol berjenama asing yang terkenal menghasilkan lebih daripada 800ppm sulfur? Lebih menarik lagi, petrol RON97.

Saya sememangnya berbangga dengan produk Malaysia. Petronas bukan sahaja melambangkan satu konglomerat yang berjaya. Mereka mempunyai kepakaran dan jurutera bertaraf dunia. Petronas juga melambangkan Malaysia. Malah bukan sekali saya ditanya pemandu teksi setiap kali ke Jakarta.

"Bapak kerja Petronas kah?"

- KOSMO!
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url